Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dalam kenyataannya hari ini menegaskan tindakan kumpulan pengganas ISIS (Negara Islam Iraq dan Syria) melatih rakyat Malaysia adalah ancaman kepada negara dan tidak boleh dibiarkan sama sekali.
Sambil melahirkan kebimbangan, beliau memberi amaran bahawa ramai lagi rakyat di negara ini akan terpengaruh dengan hasutan pengganas tersebut.
"Jika mereka bersama kumpulan itu, mereka akan dilatih dari segi militan dan mereka akan punyai semangat setiakawan bersama rakyat negara lain di tempat berjuang itu.
"Tak mustahil mereka ni balik senyap-senyap dan tubuhkan sesuatu, ini perkara nyata dan telah diperakui bahawa kumpulan IS ini lebih dahsyat daripada Al Qaeda," katanya kepada wartawan selepas Majlis Penutupan Program Summer Camp 11/2014 di Kem Desa Pahlawan di Kota Baru, hari ini.
Sambil meminta semua pihak tidak memandang remeh dan berkerjasama dengan kerajaan, Zulkifeli berkata, masalah militan amat serius dan kerajaan sentiasa memberi amaran kepada rakyat agar tidak terpengaruh dengan kumpulan ini.
Mengingatkan kesan buruk dari kewujudan pengganas, beliau melahirkan kebimbangan tentang keupayaan militan untuk membentuk sebuah gerombolan kecil dengan berbekalkan pengalaman berperang di luar negara apabila kembali ke tanah air.
"Kumpulan ini mampu mempengaruhi pelajar perempuan tingkatan dua menerusi Internet, apa jihadnya ... kalau membunuh Islam sesama Islam," katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata PDRM telah mengecam 39 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang dikaitkan dengan gerakan militan seperti Isis.
Hingga kini terdapat tiga kumpulan militan yang disertai rakyat Malaysia di Syria iaitu ISIS, Jabhat Al Nusra dan Ajnad Al Sham, dan selalunya mereka menggunakan ayat al-Quran dan "jihad" semasa mengumpan golongan sasaran.
"Ini adalah satu ancaman yang nyata dan rakyat mesti sedar akan ancaman ini seterusnya boleh menjadi mata dan telinga kepada agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tentera," kata Zulkifeli.